Monday 20 May 2013

"2 HARI BERMAKNA"

Jauh pemandangan luas pengalaman, kata-kata ini telah di perdengarkan sejak sekolah rendah lagi. Tapi malangnya tidak semua antara kita yang betul-betul fasih akan takrif ayat ini termasuklah aku Panda. Sebelum ini aku merantau di negeri orang hanya berbekalkan bagasi kosong yang hanya dipenuhi pakaian  bertujuan untuk menghiburkan diri dengan berselindung disebalik alasan untuk melihat dunia luar dari bumi yang aku pijak sekarang. Ye!sambil berhibur aku sempat melihat dunia luar yang penuh dengan ranjau kehidupan manusia dari segi "negatif" dan salah aku tidak mengambil iktibar dari pemandangan yang aku jamu dengan mata malah aku hanya merungut dengan keadaan ini. Aku hanya pandai complain dan hanya petah berbicara mengeluarkan kata-kata tanpa sebarang tindakan kerja umpama "tin kosong" hanya mengeluarkan bunyi nyaring yang tidak mampu mengubah apa-apa. Akhirnya pengembaraan aku tidak memberi makna kepada jiwaku. Namun, pemikiran zaman gelapku sudah berakhir setelah aku menyertai sukarelawan "Teach For The Need"(TFTN) dan aku mengenali insan-insan yang sangat hebat jiwanya dan mereka mempunyai satu matlamat yang sama iaitu ingin membantu mengubah perspektif pemikirang bangsa mereka. Merekalah yang membuka pemikiran aku. Abang Cik salah seorang antara mereka yang aku paling kagum dan hormati telah mempelawaku menyertai mereka menghadiri satu kursus di Kuala Lumpur (KL). Bagi aku itu hanya program yang sudah biasa dianjurkan di negara ini, tetapi jiwa aku telah terikat dengan minat ku merantau aku bersetuju menaiki "keretapi" yang sama. Bagi aku bandar metropolitan ini hanya di penuhi dengan masalah-masalah sosial yang semakin membarah dan mustahil untuk mendapatkan sesuatu ilmu jika tidak dianjurkan program sebegini. Tetapi ternyata sangkaan aku melesit, setelah sampai ditempat yang dihajatkan aku terpaku membisu ketika melihat begitu ramai orang-orang hebat didepan ku. Dalam hatiku berbisik seketika "inikah bandar yang aku kenal dulu?",aku kagum!sangat kagum! dengan apa yang aku lihat ini. Setiap kata-kata mereka matang sepeluh tahun kehadapan dari usia mereka. Pada waktu itu,aku sangat berharap kehebatan ini tidak mati di program itu saja dan ternyata harapan ku menjadi kenyataan.

Sekiranya malam minggu anak-anak muda lain dipenuhi hiburan kosong, kami pula menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) . Ini lah pertama kali aku menjejakkan kaki di tempat yang hebat itu dimana selama ini aku sanjung tinggi. "Saturday Night Lecture by Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas" ini lah tujuan utama mereka dan aku hanya mengikut saja. Pada mulanya aku tidak berminat dengan philosophy class ni...tetapi lama kelamaan aku mula tertarik bagaikan Prof mempunyai satu tarikan magis yang membuatkan aku berminat untuk mendengar hujahnya walaupun aku tidak faham sepenuhnya. Aku semakin kagum dengan keturunan Syed Al-Attas ini ketika aku sedar bahawa sepanjang penyampaian ilmu beliau selama dua jam itu tidak tersedia langsung air dan Prof juga tidak menggunakan sebarang rujukan untuk menerangkan sesuatu istilah dan masih segar difikiran beliau setiap kata-kata gurunya . Sungguh menakjubkan! aku teringin bertentang mata dengan beliau mengucup tangan. Aku sangat mengharap suatu hari dapat berjumpa dengannya lagi walaupun ianya agak mustahil kerana aku difahamkan beliau telah mencecah 80 tahun..tapi yelah, magik selalu berlaku dengan kehendak-Nya. Malamku tidak berakhir begitu saja. Setelah hampir setengah jam aku berada didalam kereta Wira Kak Mal (salah seorang volunteer TFTN) sambil mendengar cerita dia yang banyak memberi pengajaran dan tersedia input didalamnya, aku dan Abang Cik tiba di destinasi penginapan kami iaitu apartment "Vista Pinggiran". Disini kami hanya menyewa bilik yang telah di tempah oleh Miss Asmidar (salah seorang pengasas TFTN). Rasa hendak gugur jantung ini apabila mengetahui pemilik Apartment itu seorang lelaki Pakistan. Sedangkan dengan orang sendiri pun kita gentar, inikan pula orang luar yang kita tidak pernah kenal, tapi apakan daya kami hanya mampu tawakal dan berdoa semoga kami dilindungi. Aku pun bersihkan diri sedikit selepas seharian mencari arah dan terus menunaikan solat isyak. Alangkah terkejutnya aku setelah menyelesaikan ibadah wajibku, aku melihat Abang Cik berbual mesra dengan saudara Pakistan itu. Aku kehairanan tidak keruan, aku menyempil dan sertai mereka. Daripada percakapan dan gayanya aku faham bahawa beliau berminat untuk menyertai kami sebagai volunteer dan yang paling tidak disangkakan beliau mempunyai satu impian untuk menolong rakyat di negaranya sendiri. Sungguh mulia hati insan ini, aku dan Abang Cik rasa sangat terharu dan kegembiraan ingin melompat meraikan kesucian hati beliau. Kami berborak agak lama dengan tenaga yang datang entah dari mana. Jam menunjukkan tepat ke arah angka 1. Kami mula menyusun ayat perlahan-lahan mengundur diri dan nampaknya dia sudah faham dengan tingkah laku kami. Sebelum kami masuk tidur, lelaki itu berkata "if you want to come here again,just inform me and I will spare you a room for free". Kata-kata itu masih tengiang-ngiang di cuping telinga ini. Aku dan Abang Cik sangat gembira,mungkin inilah yang dikatakan hikmah dan magik,pada asalnya kami merungut dan pada akhirnya kami mendapat sesuatu yang amat bermakna.

Cahaya matahari memancar menyinari bilik kami.aku dan Abang Cik telah bersiap untuk di jemput Kak Mal. Sedang kami menunggu dibawah matahari pagi,kelihatan seorang tua mendekati kami. Kalau dilihat sekali imbas, agak kesian kepada pakcik itu yang telah kehilangan dompetnya. Insan berkenaan meminta RM65 dari kami. Antara percaya tidak percaya kami tidak dapat menghulurkan sebarang bantuan kerana kami pun perantau. Abang Cik mempelawa pakcik tersebut untuk menumpang kami,namun pelawaan itu tidak diterima sama sekali. Sangkaan Buruk kami semakin bertambah. Perlahan kereta Wira Kak Mal berhenti di hadapan kami. Aku dan Abang Cik terus menaiki kenderaan bermotor itu sambil meminta maaf kepada pakcik itu dan perlahan meninggalkannya. Kak Mal memandu kereta yang di tumpang oleh Aku, Abang Cik, Kak Fisha dan Kak Fatin dengan agak laju kerana kami agak lewat. Kursus itu berjalan seperti biasa dan semakin banyak input yang bakal berguna kepada kami sama ada untuk bidang akademik ataupun dalam proses penyampaain ilmu. Aku kagum dengan mereka-mereka yang menyampaikan ceramah dan method yang diajar. Mereka mempunyaai kesabaran yang sangat tinggi. Jam tepat menunjukkan pukul 5 petang. Ini menandakan bahawa tamatlah kursus kami disini. Setelah selesai semuanya kami menuju ke Hospital Kuala Lumpur menziarahi sahabat aku yang baru sahaja menjalani pembedahan dan terus menuju ke Kampung Baru untuk mengisi perut kami yang telah medendangkan lagu Reggea. Aku menyangkakan kami akan terus pulang selepas menjamu selera rupanya tidak. Aktiviti ni masih baru bagi aku. Setelah selesai makan kami adakan circle atau perkongsian ilmu atau apa saja yang kami dapat sepanjang kami disini, dan disini jugalah aku meluahkan perasaaan aku menyertai mereka dan disini juga aku menyatakan hasratku untuk menyertai Miss Asmidar di Jengka setelah menaiki semester baru untuk meneruskan khidmat aku. Semua ini aku lakukan dengan kerelaan hatiku dan Miss telah membuka kotak pemikiranku sepanjang disana. Enjin kereta Saga mula panas pada pukul 10 malam. Miss menyerahkan kunci kereta kepadaku untuk memandu mereka pulang. Sebelum keluar dari Bandar Metropolitan ini aku berdoa semoga akan ada peluang untuk aku sekali lagi suatu hari nanti. Sepanjang perjalanan pulang kereta ini tidak pernah sepi dengan perkongsiaan ilmu, aku mengimbas kembali kata-kataku sebelum ini, dan kini aku sedar "kita menjunjung langit yang  dan berpijak di bumi yang tiada hujungnya" jadi ilmu itu pasti ada di setiap pelusuk dunia. Miss bersuara "awak beruntung sebab dah terdedah dengan pengalaman sebegini pada usia muda" ye antara volunteer di dalam kereta biru gelap itu aku yang paling muda, tapi aku tidak rasa aku beruntung sebab aku banyak menghabiskan masa aku terbuang begitu saja sebelum ini. Tapi dari segi lain, aku rasa aku beruntung!ye aku beruntung mengenali kalian!dan aku beruntug kerana aku terpilih untuk mengalami "2 hari bermakna". Terima kasih Kak Fisha kerana mengenalkan TFTN kepadaku, terima kasih Abang Cik kerana menjemputku, terima kasih Kak Fatin atas perkongsian ilmu dan terima kasih idolaku Miss Asmidar atas nasihat dan jasamu membuka mindaku.

-PANDA-

No comments:

Post a Comment